Tuesday 9 October 2012

PANDUAN MENANAM PISANG : APAKAH ITU PISANG?



PENGENALAN:

Nama saintifik : Musa paradisiaca L.
Nama tempatan : Pisang
Keluarga : Musaceae

Pisang yang boleh dimakan berasal dari M. accuminata Colla dan M. balbisiana Colla.  Pisang masak boleh dimakan segar atau diproses menjadi berbagai-bagai produk seperti puri, hirisan dalam sirap atau buah koktel, pisang kering atau salai, makanan bayi, kerepek, keropok, jem, jeli, serbuk, minuman dan juga cuka.  Pemerosesan buah pisang di peringkat matang terhad kepada pengeluaran produk kerepek dan tepung pisang.
VARIETI PISANG
Terdapat beberapa jenis pisang iaitu:-
·         Pisang Berangan
Mula mendapat pasaran meluas.  Kebanyakan memilih berangan sebagai makanan pisang segar.  Berat setandan ialah 12-22 kg, mempunyai 8-12 sisir dengan setiap sisir mempunyai 12-20 jejari.  Panjang jejari diantara 12-18 cm dengan garis pusat 2.5 - 3.5 cm.  Buah bersaiz sederhana hingga besar, berwarna kuning oren dan sangat menarik apabila masak sepenuhnya.  Kulitnya agak tebal, mudah dikupas dan meninggalkan sedikit talian serabut setelah dikupas.  Isi buah pejal, berwarna kekuningan hingga oren, berbau wangi dan manis rasanya.
 

·         Pisang Mas
     Berat lebih kurang 12 kg, mempunyai 5-9 sisir setandan dan 14-18 jejari bagi setiap sisir.  Panjang jejari ialah 8-12 cm dan 2-3 cm garis pusat.  Kulit nipis dan berwarna kuning keemasan.  Isi pejal, berwarna kuning keemasan, berbau harum kewangian dan sangat manis. Pokok Pisang Mas (PMas) boleh ditanam dengan cara mengubah anaknya. Jarak tanaman anak Pmas yang ideal ialah 10 kaki X 10 kaki.Ditanam dalam bentuk barisan. Apabila ia menjadi perdu, maka perdu yang ideal ialah dengan menyimpan 3 hingga 4 pokok seperdu, termasuk anak. Anak Pmas yang kurang subur hendaklah di pangkas. Ini akan memaksimumkan kualiti buah pisang yang akan diperolehi. Ia juga bertujuan untuk mengelakan dari pokok yang tidak berkualiti memakan baja. Untuk tanaman komersil, saliran air hujan hendaklah lancar dan tidak bertakung. Pmas alah kepada air bertakung. Jika anda dapati daun pisang yang belum matang kelihatan seperti terbakar, itu adalah petanda bahawa dibawah tanah ada takungan air. Jika air bertakung lebih dari dua malam, daunnya akan jadi layu kekuningan dan akhirnya kecut kelihatan seperti terbakar.


·         Pisang Cavendish
Mula diusahakan secara komersil dan kebanyakan hasilnya dieksport.  Jenama dagangan seperti Gros Michel, Grand Naine dan lain-lain terkenal di Filipina atau Australia.  Di Malaysia, jenama seperti Montel, Comel, Cabana atau Sun King Banana juga merupakan kultivar Cavendish.  Berat setandan ialah 25-40 kg dan mempunyai 15-25 sisir bagi setiap tandan. Jejari berukuran diantara 15-22 cm panjang dan garis pusat 3.5 - 4.0 cm.  Kulit buah adalah tebal dan mudah tanggal dari sisirnya.  Isinya berwarna putih pekat, bertekstur halus dan lembut, berbau wangi dan manis rasanya.
 

·         Pisang Embun
Ditanam untuk hidangan segar.  Berat setandan antara 20-40 kg dan mempunyai 10-25 sisir bagi setiap tandan dan 14-25 jejari bagi setiap sisir.  Panjang jejari ialah 15-20 cm dan besar diantara 3.5 - 4.0 cm garis pusat.  Kulit buah licin dan berwarna kuning apabila sudah masak.  Isinya berwarna krim, sederhana pejal, berbau sedikit harum dan rasanya manis. Pisang Embun merupakan sejenis pisang yang ditanam bagi mendapatkan buahnya. Nama sains pokok Pisang Embun ialah Musa acuminata Colla (AAA Group) cv. 'Ambon Putih'. Di Filipina ia dikenali sebagai Ambon, di Indonesia ia dikenali sebagai Pisang Ambon Putih. Pokok Pisang tidak mempunyai batang berkayu, tetapi sebaliknya ia terdiri dari gentian. Terdapat 2 jenis pisang Embun yang bewarna merah dan kuning apabila masak. Pokok Embun biasanya ditanam bagi mendapatkan buahnya kerana buahnya yang besar dan sedap digemari ramai dan boleh dimakan mentah. Tetapi buahnya tidak tahan lama dan perlu dimakan dengan cepat sebelum menjadi isinya menjadi lembik.


·         Pisang Rastali
Digemari sebagai pisang sajian segar.  Berat setandan antara 10-18 kg dengan 5-9 sisir setiap tandan.  Setiap sisir mempunyai 12-16 jejari.  Panjang jejari 10-15 cm dan 3-4 cm garis pusat.  Kulit buah sangat nipis tetapi mudah dikupas, berwarna kuning terang setelah masak.  Isi buah lembut dan berwarna putih, rasanya manis dengan sedikit rasa masam dan kelat jika belum masak sepenuhnya.
 

·         Pisang Lang
Sesuai digoreng.  Berat setandan ialah 7-10 kg dan terdapat 2 sisir bagi setiap tandan dengan 7-10 jejari bagi setiap sisir.  Jejari ukuran 25-35 cm panjang dan 6-7 cm garis pusat.  Kulitnya tebal dan berwarna kuning setelah masak.  Isi buah berwarna krim dan bertukar kepada warna oren setelah masak digoreng.  Rasanya manis dan enak dimakan.
 

·         Pisang Nipah
Hanya sesuai untuk digoreng.  Berat setandan ialah antara 15-28 kg dengan 12-18 sisir dan setiap sisir terdapat 12-20 jejari.  Panjang jejari diantara 10-15 cm dan besar 3-5 cm garis pusat.  Jejari bersegi, pendek dan padat.  Kulit buah tebal dan berwarna kuning setelah masak.  Isi berwarna krim putih dan bertekstur halus.  Setelah digoreng manis rasanya.  Pisang nipah juga disebut pisang kapok. Pisang Nipah merupakan sejenis pisang yang dituai dari pokok Pisang. Pisang Nipah biasanya ditanam bagi mendapatkan buahnya. Nama sains pokok pisang Nipah ialah Musa acuminata balbisiana cultivars (BBBc). Buah pisang Nipah ini biasanya tidak dimakan begitu sahaja. Ia biasanya dijadikan pisang goreng.


·         Pisang Raja
Boleh dimakan segar atau dimasak untuk sajian.  Berat setandan ialah 10-15 kg dengan 6-9 sisir dan setiap sisir terdapat 12-16 jejari.  Panjang jejari 15 cm dan 3-4 cm garis pusat.  Kulit buah tebal, berwarna kuning setelah masak dan mudah dikupas.  Isinya berwarna krim oren dan bertekstur kasar.
 

·         Pisang Nangka
Berat setandan 12-14 kg dan mempunyai 6-8 sisir.  Setiap sisir mempunyai 14-24 jejari.  Jejarinya bersegi dan memanjang dengan saiz jejari sederhana hingga besar.  Isinya krim putih bertekstur halus, lembut dan masam-masam sedikit rasanya.  Pisang nangka tahan disimpan.
 

·         Pisang Awak
Sesuai untuk dimakan segar atau dimasak sebagai sajian.  Berat setandan 18-22 kg dan mempunyai 8-12 sisir.  Setiap sisir mempunyai 10-16 jejari.  Panjang jejari ialah 10-15 cm dan besarnya 3-5 cm garis pusat.  Kulitnya tebal dan isinya putih keras dan melekit.  Kadangkala kultivar ini mempunyai biji. 
 

·         Pisang Putar
     Pisang Putar merupakan sejenis pisang yang sedap dan boleh dimakan begitu sahaja, atau dijadikan kuih.
 

·         Pisang Serendah
     Pisang Serendah merupakan jenis pokok Pisang yang ditanam bagi buah dan daunnya. Nama sains pokok Pisang Serendah ialah Musa acuminata Colla (AAA Group) cv. 'Dwarf Cavendish'. Ia juga dikenali sebagai Musa acuminata Colla (Cavendish Group) cv. 'Dwarf Cavendish', Musa x paradisiaca L. cultigroup Dwarf Cavendish, Musa cavendishii Lambert & Paxton var. nana. Pokok Pisang tidak mempunyai batang berkayu, tetapi sebaliknya ia terdiri dari gentian. Pokok Pisang serendah biasanya mempunyai daun yang lebar dan tahan (tidak mudah koyak). Oleh itu pokok pisang Serendah sering ditanam bagi mendapatkan daun pisang yang mempunyai banyak kegunaan. Buah pisang Serendah boleh dimakan tetapi kurang digemari ramai. Oleh itu penanaman pokok pisang Serendah kebiasaannya adalah untuk daunnya berbanding bagi mendapatkan buahnya. Buah Pisang Serendah ini biasanya dimakan begitu sahaja.

·         Pisang Tanduk
     Pisang Tanduk merupakan sejenis pisang yang bersaiz besar dan dengan bentuknya menyebabkan ia diberi nama pisang tanduk. Pisang Tanduk sedap digoreng.
Di antara pisang yang boleh di makan segar ialah seperti Pisang berangan, Cavendish dan Rastali.  Pisang yang biasa di masak atau diproses adalah seperti pisang Nangka, pisang Raja, Lang, Relong, Tanduk, Nipah dan pisang Awak

No comments:

Post a Comment