Tuesday 9 October 2012

PANDUAN MENANAM PISANG IV : PEROSAK TANAMAN PISANG


PEROSAK TANAMAN PISANG:
Program kawalan penyakit dan perosak hendaklah dijalankan dari peringkat awal penanaman sehingga ke peringkat penuaian hasil. Kebersihan ladang, cantasan daun berpenyakit dan tua, pembinaan saliran dan pembungkusan tandan buah adalah aktiviti yang perlu dijalankan bagi mengurangkan kos kawalan penyakit dan perosak. Antara penyakit utama yang menyerang pisang ialah Bintik Daun Sigatoka (Mycosphaerella sp), Penyakit Layu Panama (Fusarium oxysporium) dan Penyakit Bintik Daun Cordana (Cordana musae). Manakala  perosak utama tanaman adalah Pengorek Umbisi Pisang (Cosmopolites sordidus germ), Kumbang Pengorek Batang Pisang (Odoiporus longgicolis, Oliv, Ulat Gulung Daun (Erionate thrax) dan ialah lalat Buah (Bactocera musae).
·         Pengorek Umbisi Pisang (Cosmopolites sordidus Germ)

Peringkat larva mengorek di bahagian umbisi dan pangkal batang yang berhampiran dengan tanah.  Ia tidak menyerang pada akar.  Tisu-tisu di sekeliling lubang yang dikorek akan menjadi perang dan busuk.  Serangan teruk menyebabkan daun-daun menjadi kuning dan pokok mudah tumbang.  Sulur bahagian tengah terbantut.  Anak pokok yang diserang akan mati jika serangannya merebak sehingga ke bahagian pucuk.  Pokok yang diserang akan mengeluarkan tandan buah yang lebih kecil dari saiz biasa.

Kawalan:

Cara Kultura:

Guna sulur yang sihat sahaja sebagai bahan tanaman.  Jalankan rawatan dengan cara memotong di sekeliling umbisi dan celup dalam air panas bersuhu 55oC selama 5-10 minit. 

Pemasangan Perangkap

Batang pisang tua yang dipotong-potong 2-3 kaki dibelah dan ditelungkupkan.  Kumbang-kumbang akan bersembunyi di bawah belahan batang pisang tersebut.  Pungut kumbang tersebut dan musnahkan.

Cara Kimia

Siram dengan bancuhan racun Dieidrin pada kadar 0.1% a.i. di pangkal pokok pisang yang diserang dan permukaan rhizom yang dipotong ketika membuang sulur.  Celupkan sulur-sulur ke dalam larutan bancuhan racun Dieldrin dengan kadar 0.1% a.i.
 

·         Kumbang Pengorek Batang Pisang (Odolporus longicollis Oliv)

Menyerang dengan memakan tisu-tisu batang pisang dan bahagian tengah batang membentuk alur-alur panjang.  Bahagian yang diserang akan berubah warna coklat dengan cepat.  Daun menjadi kuning dan batang pisang mudah patah apabila ditIup angin kencang.  Peringkat dewasa juga boleh melakukan kerosakan.

Syor dan Kawalan:

- buang dan musnahkan semua batang-batang yang ditebang dan sulur yang diserang
- tanam sulur-sulur yang bebas dari serangan perosak ini
- sembur racun serangga Dieldrin dengan kepekatan 0.1% pada pangkal batang pisang yang diserang
 

·         Ulat Gulung Daun (Erionota thrax)

Selalu menyerang pada semua jenis pisang.  Serangan teruk boleh mengakibatkan daun menjadi kering dan pokok terencat.  Serangga ini bertelur sebiji-sebiji pada daun muda.  Setelah menetas larvanya bersembunyi dengan cara menggulungkan daun ke arah tulang daun.  Larvanya cergas pada waktu malam, keluar dari gulungan daun untuk makan daun pisang.  Ia menggulungkan daun dan melekatkan dengan menggunakan bebenang putih.  Di waktu siang ia bersembunyi di dalam gulungan daun.  Jika gulungan daun ini terbuka, larva atau kepompong akan terdedah.  Daun yang bergulung akhirnya kering dan tidak berfungsi.

Syor-syor Kawalan:

- pungut dan musnahkan larva
- serangga pemangsa semulajadi atau parasit dapat memusnahkan telur serangga
 

·         Lalat Buah

Menyerang buah yang masak.  Larvanya akan merosakkan buah dan tidak boleh disimpan lama dan dipasarkan.  Tanda-tanda buah yang telah diserang apabila masak atau berwarna kuning terdapat bintik-bintik hitam bekas tusukan ovipositor semasa lalat buah dewasa bertelur.
 

·         Nematoda

Menyerang pada bahagian akar pisang.  Biasanyanya berlaku pada tanaman pisang generasi kedua.  Kerosakan lebih lazim berlaku di tanah peroi daripada di tanah berat.  Akar yang diserang kelihatan tompok-tompok hitam.  berbintil-bintil dan pecah terutama dekat bahagian umbisi dan menjadi reput.  Serangan dan kerosakan pada akar boleh membawa kesan yang serupa dengan kekurangan air.  Pokok yang belum berbuah bahagian tepi daun kelihatan kering manakala pokok yang berbuah serangannya mengakibatkan saiz tandan kecil, buahnya kering dan menjadi keras serta hitam semasa muda lagi.  Pokok yang diserang ini mudah diserang oleh kulat Rhizoctonia solani dan Fusarium oxysporium yang akan menambahkan lagi kerosakan pada akar seterusnya pokok pisang akan mati.

Syor Kawalan:

- gunakan sulur yang sihat, bersihkan akar-akar umbisi dan lakukan rawatan dengan merendam
  dalam air bersuhu 55oC selama 10 minit.

- musnahkan batang-batang pisang yang lama dan pokok-pokok pisang yang diserang nematod.

- tabur dengan racun kimia bagi kawalan nematod seperti Fenamiphos dengan kadar 20g/pokok
  atau Carbofuran (Furadan 3G) dengan kadar 100g/pokok, kekerapan menabur 4 kali setahun.

- semua buah pisang hendaklah dibungkus dengan plastik pada peringkat muda.  Masa yang sesuai
  pembungkusan ialah setelah buah sisir terakhir terbentuk dianggarkan 10-14 hari selepas berjantung.
  Potong jantung dan biarkan lelehan getahnya kering, semburkan racun klorpirifos pada kadar 0.04%
  a.i. untuk mengawal kutu trip dan bungkus dengan plastik yang telah dilubangkan.
 

·         Kutu Trips

Apabila populasinya tinggi ia boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian kulit pisang.  Kulit pisang akan berkeruping dan proses kematangan pisang terganggu.

Syor kawalan:
suntikan racun serangga seperti klopirifos dengan kadar 0.1% a.i., diazinon dengan kadar 0.1% a.i. atau deltamethrin dengan kadar 0.1% a.i. pada jantung pisang.
 

·         Rumpai

Kawalan rumpai dilakukan dengan cara manual (menggunakan cangkul, tajak atau mesin sandang) atau kimia.  Sungkupan dengan menutupkan kawasan keliling pokok pisang yang menggunakan lalang, rumput kering, batang dan daun pisang boleh juga mengawal rumpai.  Secara kimia rumpai dikawal dengan racun seperti paraquat, glifosat dan glufisonat-ammonium.


No comments:

Post a Comment