Tuesday 9 October 2012

PANDUAN MENANAM PISANG VI : ALAT MEMBUNGKUS BUAH PISANG


ALAT MEMBUNGKUS BUAH PISANG
(sumber:  Berita Pertanian Bil. 57 Jul-Dis 1998)

Alat membungkus buah pisang adalah satu teknologi yang direka khas bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja pembungkusan tandan buah pisang di ladang.  Alat ini dapat meningkatkan kecekapan pembungkusan dan membolehkan pekebun melaksanakan kerja dengan mudah, cepat dan selamat serta menjimatkan tenaga, masa dan kos.
Dengan penggunaan alat ini, kerja-kerja pembungkusan buah pisang dapat dilakukan oleh seorang pekebun sahaja.  Pekebun tidak memerlukan tangga, bangku, kotak kayu atau tong besi untuk mencapai tandan pisang yang tinggi.  Cara lama didapati merumitkan, mengambil masa, cerewet malah merbahaya kepada pekebun. Alat ini terdiri daripada 3 bahagian, iaitu rangka, galah dan rak.
Rangka:
Rangka berbentuk U diperbuat daripada keluli yang tahan karat, kuat dan ringan.  Saiz rangka dibuat mengikut saiz beg yang digunakan.  Rangka bersaiz 36 cm x 36 cm adalah sesuai untuk beg 75 cm lebar (berlapis dua) dan rangka 40 cm x 40 cm untuk beg berukuran 83 cm lebar.  Beg biasa berukuran 120 cm panjang, 0.02 mm tebal, berwarna biru dan terdapat lubang-lubang kecil di seluruh permukaan beg.  Rangka ini akan disambung kepada galah dengan sistem kunci skru.
Galah:
Batang galah diperbuat daripada aluminium yang tahan karat; kuat dan ringan.  Ia berbentuk seperti teropong.  Ia terdiri daripada tiga bahagian dan setiap bahagian berukuran 134 cm.  Ia boleh dipanjangkan sehingga 4 meter.  Hujung galah ini dipasang dengan sebatang skru besi untuk menyambung kunci skru yang ada pada rangka.  Sistem kunci skru ini membolehkan galah aluminium digunakan sebagai alat serbaguna untuk menyambung pelbagai alat serbaguna untuk menyambung pelbagai alat-alat pertanian seperti pisau mencantas, gergaji dan lain-lain.
Rak:
Rak dibuat daripada besi dan berukuran 85 cm panjang.  Di bahagian bawah berbentuk tajam dan bahagian atas berbentuk seperti sepasang tanduk.  Rak ini dibenam ke dalam tanah dan bahagian atasnya digunakan untuk menyokong alat bagi memasang beg politena pada rangka.  Alat ini mampu digunakan oleh seorang pekebun untuk membungkus 150 sehingga 180 tandan buah pisang sehari bergantung kepada jarak tanaman, permukaan tanah dan kemahiran pekebun.

No comments:

Post a Comment