Tuesday 9 October 2012

PANDUAN MENANAM PISANG III : PENYAKIT TANAMAN PISANG


PENYAKIT TANAMAN PISANG:
1.      Bintik-bintik Daun atau Penyakit Sigatoka

Bintik-bintik daun atau sigatoka kuning adalah disebabkan oleh kulat Mycosphaerella musicola atau Cercospora musae (peringkat konodia) manakala Mycosphaerella fijinensis pula dikenali sebagai Sigatoka hitam.  Kulat ini senang membiak di kawasan yang lembab dan mempunyai sistem saliran yang kurang baik.  Keadaan taburan hujan yang tinggi juga menggalakkan pembiakan kulat ini.  Serangan berlaku pada daun yang matang.  Daun akan menjadi perang dan kering dan dari jauh pokok kelihatan seperti terbakar.

Serangan teruk pada peringkat pokok pisang sedang berbuah menyebabkan bilangan daun atau keluasan daun hijau yang berfungsi berkurangan seterusnya mengakibatkan saiz buah dan bilangan sisir buah berkurangan.  Buah muda tidak akan masak dan buah yang matang akan masak lebih awal dan mutunya terjejas.  Serangan pada peringkat pokok muda boleh mengakibatkan pokok akan mati.

Syor Kawalan:

- ladang hendaklah bersih dan mempunyai saliran yang sempurna.
- buang sulur yang tidak dikehendaki dan daun yang diserang Sigatoka.
- pembajaan dilakukan dengan secukupnya.
- sembur racun kimia yang disyorkan setiap 10 hari sekali.
- racun kulat yang digunakan adalah mancozeb, benomyl, tridemorph, propiconazole, 
  maneb dan thiophnate-methyl.  Sedikit campuran minyak seperti Orchex dicampurkan
  dalam bancuhan boleh membantu melanjutkan kekesanan racun kulat tersebut.
 

2.      Penyakit Layu Panama

Penyakit ini disebabkan oleh kulat Fusarium oxysporium f.sp. cubense ras no. 1 yang mudah menyerang pada pisang Rastali dan Embun.  Pisang Emas dan Berangan rintang terhadap penyakit ini.  Kulat ini akan memasuki  akar pisang melalui tebukan dan kerosakan bermula disebabkan serangan nematod atau luka pada bahagian akar.  Pembiakan kulat seterusnya berlaku di dalam saluran sistem pemakanan pisang tersebut terutama di bahagian umbisi.  Akibatnya saluran makanan tersumbat dan mengganggu pengaliran air dan zat makanan.

Tanda-tanda serangan pada peringkat pokok muda ialah pucuknya yang masih bergulung kelihatan layu dan mati.  Bagi pokok tua, pucuk juga akan kelihatan kekuningan dan disamping itu daun-daun lain kelihatan patah terkulai.  Tandan buah juga menghadapi masalah yang sama dan kering. Pokok-pokok yang diserang selalunya mengeluarkan banyak anak tetapi kelihatan layu.

Syor dan Kawalan:

- kebersihan kebun hendaklah sentiasa dijaga.
- gunakan sulur yang sihat dan tanam mengikut jarak yang disyorkan.
- sistem saliran kebun yang baik.
- setakat ini belum ada kawalan kimia yang berkesan untuk mengawal penyakit ini.
- pokok yang diserang hendaklah ditebang dan dimusnahkan dengan segera.
 

3.      Penyakit Moko Pisang
Simptom/Tanda :


  1. Tisu vaskular menjadi perang atau kehitaman
  2. Terdapat ooze bakteria apabila batang/ rhizom pokok pisang dipotong
  3. Buah hitam dan reput
  4. Buah pisang masak tidak seragam.Pengurusan bersepadu adalah penting untuk mengawal penyakit moko pisang. Langkah-langkah kawalan adalah seperti berikut: 
  • Laksanakan amalan pertanian baik dan pengurusan ladang yang baik.
  • Musnahkan segera pokok yang dijangkiti dan pokok-pokok berdekatan dalam lingkungan 5 – 10 meter diameter.
  • Basmi kuman semua peralatan ladang dengan larutan formaldehye 10 %.
  • Lakukan pemantauan ladang dan pengesanan awal kejadian serangan penyakit 
  • Kuarantinkan kawasan serangan- Kawasan yang diserang akan dibiarkan rang (fallowing) selama 18 – 24 bulan untuk mengurangkan inokulum bakteria dalam tanah dan dipagarkan sekeliling kawasan serangan untuk mencegah jangkitan patogen ke kawasan /pokok yang berhampiran.
Sumber : Jabatan Pertanian

No comments:

Post a Comment